TANJUNG MALIM 24 Jun – Seorang tukang jahit ditahan bersama 39 bungkus cecair dipercayai air ketum dan 10 botol ubat batuk dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Ketoyong di sini semalam.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati, suspek yang bekerja sebagai tukang jahit di Tanjung Malim itu membeli bekalan air ketum tersebut di Sungkai.
Katanya, kesemua barang rampasan bernilai RM390 itu telah ditemukan di lantai rumah suspek.
“Suspek yang ditangkap dibawa balik ke IPD Muallim untuk tindakan lanjut. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE











