Zirafah tempuh 
12 jam perjalanan - Utusan Malaysia

Zirafah tempuh 
12 jam perjalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 23 Jun – Seekor zirafah betina milik Zoo Melaka, Mercy menempuh perjalanan selama 12 jam dan melalui proses yang agak rumit untuk dipindahkan ke rumah baharunya di The Lost World of Tambun, Perak.

Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Muhammad Shahrul Hafidz Ab. Rahim berkata, proses pemindahan haiwan dari benua Afrika itu mengambil masa agak lama bagi memastikan ia tidak tertekan atau bertindak liar dalam perjalanan.

Menurutnya, antara faktor yang diambil kira semasa proses itu ialah waktu yang sesuai, tekanan perasaan serta bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita bimbang sekiranya tempoh pemindahan menjadi terlalu lama atau ken­deraan dipandu terlalu laju,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyaksikan proses pemindahan itu di Zoo Melaka, Ayer Keroh, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis; Pengurus Besar The Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari dan penjaga Mercy, A. Saravanan.

Jelas Muhammad Shahrul Hafidz, proses memindahkah haiwan berusia 11 tahun itu dilakukan dengan persediaan sejak lebih sebulan yang lalu.

“Penjaga Mercy akan ke Perak selama seminggu sebelum penjagaan haiwan itu diserah kepada penjaga baharu,” katanya.

Tambah Muhammad Shahrul Hafidz, pemindahan Mercy ke Perak merupakan sebahagian daripada perjanjian pertukaran haiwan antara Zoo Melaka dengan pihak The Lost World Of Tambun.

“Melalui perjanjian yang telah ditandatangani pada Mei lalu, Zoo Melaka bakal me­nerima seekor Harimau Putih dari The Lost World Of Tambun untuk dijadikan tarikan baharu,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini