Dua anggota Maritim terima rasuah bulanan diberkas - Utusan Malaysia

Dua anggota Maritim terima rasuah bulanan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tanda tanya tentang pengusaha bot nelayan yang sering kali menceroboh ke zon tidak dibenarkan khususnya untuk nelayan kecil di pesisir pantai akhirnya terjawab apabila dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan daripada golongan tersebut di Kuala Kedah, di sini sejak tiga tahun lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 44 tahun yang berpangkat Bintara Muda Maritim itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Kedua-dua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Lyana Ab. Rahim membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut sumber, dua anggota penguat kuasa itu didakwa meminta dan menerima rasuah antara RM200 hingga RM2,000 daripada nelayan dan pemilik bot sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan kerana melanggar kesalahan di bawah Akta Perikanan.

Kesalahan yang dilakukan nelayan antaranya menceroboh kawasan penangkapan ikan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua anggota penguat kuasa berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, nelayan pesisir pantai di daerah Kuala Kedah sering kali merungut apabila pengusaha bot kelas B1 menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan iaitu kurang 14.4 kilometer dari pesisir pantai sehingga menjejaskan pendapatan mereka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini