PARIT – Suspek yang memukul hingga mati seorang duda anak tiga di Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah semalam, didapati tidak mempunyai rekod sakit mental atau jenayah lampau.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintenden Nik Rosdi Nik Yahya berkata, ujian air kencing terhadap lelaki berusia 43 tahun itu juga mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau pun pernah dirujuk ke hospital untuk rawatan psikitri.
“Bagaimanapun, siasatan mendapati, suspek pernah memberi amaran kepada mangsa sebelum ini supaya menjauhi isterinya di mana mereka dipercayai telah menjalin hubungan lebih kurang setahun,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah semalam, duda orang kurang upaya (OKU) berusia 42 tahun itu maut setelah cedera parah akibat dibelasah suspek menggunakan sebatang kayu yang berpaku.
Kejadian bermotifkan cemburu itu dipercayai berlaku apabila suspek yang bekerja sebagai pembantu ladang mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. -UTUSAN ONLINE











