PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, Johor sejak minggu lalu berpunca daripada sisa bahan toksik yang mencemari Sungai Kim Kim, Mac lalu.
Beliau berkata, maklumat tersebut diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan siasatan di kawasan terjejas.
“Saya baru dapat maklumat daripada pasukan bomba bahawa kes ini adalah kes berulang dari (pencemaran) Sungai Kim Kim.
“Difahamkan, kontraktor yang dilantik untuk membersihkan bahan itu masih belum dapat menghapuskannya 100 peratus, jadi sisa itu terbiar di Pasir Gudang, lepas itu dengan angin dan hujan, ia terus merebak semula,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama warga JBPM, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pelajar di beberapa buah sekolah di sekitar Pasir Gudang, Johor mengalami sesak nafas, loya dan muntah dipercayai berpunca daripada pencemaran udara.
Terbaharu pagi tadi, beberapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Taman Pasir Putih dan SMK Tanjung Puteri Resort turut terjejas akibat kejadian tersebut.
Justeru Zuraida berkata, kerja-kerja membersih dan menghapuskn sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim akan dilaksanakan secepat mungkin. – UTUSAN ONLINE











