KUALA LUMPUR – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahasa dan pendidikan tidak berganjak dengan keputusan dengan tegas membantah pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam model lama ataupun jenama baharu yang berlandaskan pengutamaan bahasa Inggeris dan pengurangan peranan bahasa Melayu.
Perunding Bahasa Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, usaha pihaknya mendapatkan maklum balas mengenai program baharu yang bakal menggantikan PPSMI daripada Menteri Pendidikan juga menemui jalan buntu apabila tiada jawapan konkrit diberikan Dr. Maszlee Malik.
“Kajian-kajian empiris yang dilakukan badan profesional dalam bidang bahasa dan pendidikan mengenai pelaksanaan PPSMI lalu membuktikan ia adalah program gagal dalam pelbagai aspek. Sekiranya dilaksanakan sekali lagi, saya percaya ia akan bawa kehancuran kepada negara terutamanya generasi baharu.
“Selain mengharu-birukan sistem pendidikan negara, PPSMI yang mengorbankan dana negara sebanyak lebih RM5 bilion itu hanya memanfaatkan sekitar empat peratus sementara sebahagian besar pelajar khususnya di luar bandar mengalami kegagalan malah banyak lagi kesan negatif lain.
“Sebab itulah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sendiri menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda tetapi sebaliknya berlaku di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Majlis Pertubuhan Perundangan Islam Malaysia (Mappim), Mohd. Zaid Mustafa berkata, gabungan NGO bahasa dan pendidikan menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri menjawab isu tersebut untuk memberikan pandangan yang lebih jelas berkenaan pelaksanaan PPSMI atau PPSMI baharu.
“Kita sudah jemu untuk dapatkan maklum balas daripada Menteri Pendidikan atau menteri-menteri lain jadi kita harap PM dapat beri maklum balas.
“Sekiranya PPSMI atau PPSMI ‘baharu’ ini akan dilaksanakan semula, kita tidak teragak-agak untuk mengajak rakyat turun ke jalan bagi menyatakan bantahan keras kami demi generasi-generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











