ALOR SETAR – Penduduk di daerah ini diminta agar tidak panik dengan penularan penyakit Chikungunya yang dikesan berlaku di kawasan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza di sini sejak awal bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, tindakan kawalan dan pencegahan sedang dijalankan secara aktif oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar.
“Wabak penyakit ini dapat diatasi selepas semua langkah kawalan dan pencegahan dilakukan termasuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk serta semburan kabus,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, semburan kabus telah dilakukan di kawasan wabak pada lewat petang semalam.
“Kakitangan PKD Kota Setar dijangka melakukan semburan asap sekali lagi pada hari ini dan akan mengulanginya lagi jika perlu dalam tempoh seminggu,” ujarnya.
Tambahnya, PKD Kota Setar akan terus memantau situasi wabak termasuk membuat pemeriksaan di semua premis berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk seperti rumah kedai terbiar, bangunan yang baru siap dibina dan rumah burung.
Kosmo! Online hari ini melaporkan seramai sembilan lagi penduduk di sekitar rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza dikesan mengalami gejala penyakit Chikungunya menjadikan jumlah keseluruhan pesakit kini seramai 23 orang.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail mengesahkan situasi yang berlaku sebagai wabak Chikungunya selepas ujian darah mendapati seramai 15 orang disahkan positif penyakit berkenaan. – K! ONLINE











