SHAH ALAM – Perbuatan seorang pengangur yang sanggup yang merogol ibu saudaranya awal bulan ini mengundang padah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang mualaf itu didakwa merogol wanita berusia 62 tahun di sebuah kediaman di Seksyen 18, di antara pukul 10.30 malam pada 8 Jun sehingga 3.30 pagi keesokan harinya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara Sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah memohon agar tiada jaminan diberikan berikutan tertuduh adalah bersaudara dengan mangsa.
“Selain itu, tertuduh mengetahui tempat tinggal mangsa yang boleh menyebabkan gangguan terhadap mangsa yang merupakan saksi kes.
“Tertuduh juga ada tiga pertuduhan lain di Mahkamah Majistret ,” katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam tidak melakukan sebarang rayuan untuk jaminan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Julai ini.
Kosmo! Online difahamkan pertuduhan lain dihadapi tertuduh adalah mengikut Seksyen 342, Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











