PORT DICKSON – Seorang mangsa keracunan akibat minum arak beracun yang dirawat di Hospital Port Dickson (HPD) baru-baru ini telah dibenarkan pulang.
Ketua Polis daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, wanita itu, R. Sugumar yang berasal dari Taman Jimah Jaya, Site C di sini telah dibenarkan keluar dari hospital pada Jumaat lalu.
“Mangsa berusia 33 tahun itu disahkan sihat dan telah keluar dari HPD kira-kira pukul 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, seorang lagi mangsa warganegara India masih dirawat di hospital yang sama manakala seorang lagi mangsa di Hospital Kuala Pilah selepas dimasukkan pada 19 Jun lalu.
Baru-baru ini lima mangsa yang dipercayai mengalami keracunan metanol selepas meminum arak dari satu jenama yang dijual di kedai di daerah ini dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun dua daripadanya iaitu lelaki Myanmar berusia 27 tahun dan wanita tempatan berumur 26 tahun meninggal dunia.
Susulan itu dua lelaki ditahan manakala 322 tin minuman beralkohol pelbagai jenis dirampas di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan yang belum diluluskan Kastam dalam operasi bersepadu di premis-premis menjual arak di daerah ini. – UTUSAN ONLINE











