KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan pada minggu lepas.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.47 mata kepada 1,677.76 daripada 1,682.23 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks itu dibuka 2.95 mata lebih rendah kepada 1,679.28.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 104 berbanding 96, manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,546 kaunter tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.
Jumlah dagangan pada 66.37 juta saham bernilai RM36.96 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, FBM KLCI semakin terlebih beli susulan kenaikan baru-baru ini, yang sebahagian besarnya berbaloi dan mencatatkan kenaikan pada saat-saat akhir bagi saham terpilih.
“Oleh itu, kami berpandangan kenaikan baru-baru ini adalah berlebihan dan peluang belian selepas saham mengalami pergerakan harga menaik telah berakhir,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, ia menjangkakan indeks utama mencatatkan semula pergerakan menurun kepada paras 1,675 dan 1,670.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan aliran kurang memberangsangkan dalam kalangan saham FBM Small Cap, FBM Fledgling dan FBM ACE akan kekal sebagai faktor berlarutan daripada paras rendah pada Mei.
Secara keseluruhannya, Malacca Securities menetapkan paras rintangan masing-masing pada 1,690 dan 1,700 mata.
Penganalisis lain berkata para pelabur juga memantau menjelangnya pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 minggu ini di Jepun.
Selain itu, pelabur juga berhati-hati dalam keadaan ketegangan antara Washington dan Teheran selepas Pengawal Revolusi Iran menembak jatuh pesawat pengintipan tanpa pemandu AS pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau berkata sentimen tempatan kekal utuh disokong oleh kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia boleh mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi 5.0 peratus tahun ini walaupun unjuran semasa antara 4.8 peratus dan 4.9 peratus. – BERNAMA











