KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan boleh memusnahkan semua rumah setinggan yang memenuhi pinggir pantai Bukit Malut, Langkawi, Kedah.
Perdana Menteri berkata, walau bagaimanapun tindakan itu tidak boleh dilakukan kerana terdapat penduduk di penempatan tersebut.
Jelas beliau, langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap penduduk di situ adalah memindahkan mereka ke lokasi lebih baik.
“Ini masalah setinggan dari luar. Tidak mudah kita tangani perkara seperti ini. apa yang kita boleh buat? Kita boleh musnahkan semua rumah tapi ada orang di situ.
“Maka, (mereka) kena pindah dan letak mereka duduk di tempat sempurna dan mengenal pasti mereka adalah orang bekerja dan mempunyai pendapatan yang cukup untuk sara hidup mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) anjuran Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, susulan itu kajian khusus perlu dilakukan sebelum apa juga rancangan untuk memindahkan penempatan setinggan itu dilaksanakan.
Kata beliau, usaha untuk memindahkan penduduk di penempatan berkenaan akan membabitkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.
“Kalau hendak dipindahkan, membabitkan duit. Duit kitalah. Kita belum buat kajian untuk pindah. Kena buat kajian kemungkingan kalau nak pindah, tetapi hendak pindah ke mana.
“Dulu sekali kita sudah pindah, kita bagi pada mereka ini (rumah) tetapi orang Langkawi cakap pendatang dapat rumah, kami dapat apa? itu kena jaga juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











