[VIDEO] Video didikan kanak-kanak tentang gangguan seks dilancar - Utusan Malaysia

[VIDEO] Video didikan kanak-kanak tentang gangguan seks dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan siri video dalam laman video YouTube bertujuan memberi didikan kepada golongan kanak-kanak tentang gangguan seksual.

Beliau berkata, menerusi video-video berkenaan, golongan itu dapat mengelakkan daripada menjadi mangsa seksual selain mengenal pasti serta melaporkan tingkah laku mencurigakan.

Menurutnya, golongan kanak-kanak perlu mengetahui serta diajar berkaitan sentuhan selamat (safe touch) dan sentuhan tidak baik (bad touch) seawal mungkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mensasarkan video ini akan ditonton oleh 150,000 kanak-kanak.

“Lebih-lebih lagi setelah mengambil kira kemungkinan pelaku kesalahan seksual adalah dalam kangan ahli keluarga atau kenalan yang dikenali rapat, kita amat berharap kanak kanak akan dapat mengenal pasti sebarang petanda atau tingkah laku yang mencurigakan seawal mungkin dan melaporkannya segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Video-video yang dilancarkan itu akan mula ditayangkan hari ini dalam bentuk iklan berdurasi tidak melebihi satu minit sebelum penyiaran video-video berkaitan kanak-kanak dalam laman YouTube.

Ini bermakna, sebelum seseorang kanak-kanak itu menonton video kegemaran masing-masing dalam YouTube seperti lagu kanak-kanak, mengenali huruf dan warna serta siri kartun, mereka akan terlebih dahulu didedahkan dengan didikan tentang gangguan seksual.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, usaha-usaha mendidik menerusi video tersebut akan diteruskan dengan memperluaskan kategori kumpulan sasar pada masa akan datang.

“Talian Kasih 15999 dan talian kecemasan 999 adalah talian disediakan oleh kerajaan bagi membantu ibu bapa dan masyarakat membuat laporan “ katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini