KUALA LUMPUR 23 Jun – Yamaha memperkenalkan model Y15ZR Ultraman edisi terhad yang berharga RM12,688 sebuah tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Yamaha dalam kenyataan berkata, model Y15ZR edisi terhad itu hanya dikeluarkan sebanyak 100 buah sahaja dan hanya boleh didapati di Welly Assorted di Rawang, Selangor.
Menurut syarikat itu, jentera berkenaan merupakan produk berlesen rasmi daripada ejen Perlesenan Ultraman Malaysia, Taigaco.
“Penghantaran motosikal ini kepada pembeli bermula bulan depan. Y15ZR Ultraman eksklusif untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan kemasan cat semburan angin (airbrushed) perak berdasarkan warna badan Ultraman sementara warna merah menerima kemasan tidak berkilat (matte).
“Y15ZR Ultraman dipadankan dengan brek boleh laras aloi Rapida dan tuil klac, pelindung radiator aloi dan penutup enjin Yamaha yang merupakan sebahagian daripada pakej edisi terhad,” katanya di sini baru-baru ini.
Tambah Yamaha, pakej itu juga termasuk nombor plat edisi yang terletak di sebelah kiri dan pembeli boleh memilih nombor edisi dikehendaki tertakluk kepada ketersediaan.
Katanya, pembeli juga akan menerima sijil keaslian, lambang edisi terhad, t-shirt Ultraman eksklusif, poskad dan gambar belakang tabir.
Yamaha Y15ZR V2 memiliki enjin 150cc SOHC silinder tunggal, cecair penyejuk dengan kotak gear lima kelajuan. Jentera itu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm pada 7,000 rpm.
Bagi versi V2, panel instrumen menggunakan unit LCD mono krom manakala lampu depan dan belakang menggunakan diod pemancar cahaya (LED).
Y15ZR V2 seberat 117 kilogram dan tangki minyak berkapasiti 4.2 liter. Harga yang disyorkan untuk Y15ZR V2 di Malaysia adalah RM8,168 sebuah.











