KUALA LUMPUR 21 Jun – FGV Holdings Bhd. berada di landasan tepat untuk menjadi syarikat berprestasi tinggi susulan usaha kumpulan meningkatkan prestasi operasi dan mencipta nilai sebanyak mungkin.
Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, sejak pembentangan Kertas Putih Felda pada April, perniagaan berjalan seperti biasa di FGV walaupun terdapat beberapa ketidakpastian mengenai hasrat Felda berkaitan Perjanjian Sewaan Tanah (LLA).
“Bagaimanapun, kami telah mengkaji keadaan dan yakin walaupun pemegang saham lain FGV setuju untuk memberi kembali tanah kepada Felda bagi mendapatkan pampasan bersesuaian, FGV akan kekal sebagai syarikat berprestasi tinggi,” katanya menerusi surat kedua kepada semua pemegang saham seperti dimaklumkan di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Azhar berkata, terdapat tiga sebab utama iaitu FGV memiliki semua kilang dan loji penapisan dan memandangkan ia berdekatan di bawah LLA, atas sebab logistik dan ekonomi, tandan buah segar (TBS) dari tanah di bawah LLA masih perlu diproses di kilang-kilang FGV.
“Keduanya, didapati, dua pertiga daripada TBS yang diproses di kilang-kilang FGV adalah sumber daripada pihak ketiga yang bebas dan pekebun kecil, termasuk peneroka Felda.
“Oleh itu, bekalan adalah konsisten. Komponen kos terbesar FGV adalah operasi huluan. Kos kakitangan menyumbang RM998 juta sementara RM248 juta yuran tetap untuk tanah di bawah LLA dan kos penanaman semula RM300 juta,” jelasnya.
Menurutnya, ketiga pula, rancangan FGV untuk memajukan perniagaan hiliran boleh dipercepat dan dipertingkatkan dan ini adalah satu langkah yang bersedia diambil FGV mengikut keperluan semasa.
Azhar menekankan pejabat transformasi FGV telah bekerja keras dalam pemulihan operasi dan juga pelan strategik untuk membolehkan FGV merealisasikan potensi sepenuhnya.
Beliau berkata, yang penting, FGV tidak boleh bergantung semata-mata dalam pendapatan daripada jualan minyak sawit mentah (MSM) kerana turun naik harga.
“Kami sedar akan nasib pekebun kecil dan pihak ketiga yang menghasilkan TBS dan kesan harga MSM yang rendah ke atas kehidupan mereka,” tambah beliau.
FGV mempunyai simpanan tanah seluas 439,725 hektar, di mana sekitar 351,000 hektar disewa daripada Felda atau di bawah LLA dan komited membayar Felda sebanyak RM248 juta setahun untuk pajakan tanah yang mana 291,000 hektar ditanam dengan kelapa sawit.
Azhar berkata, FGV sedang mengkaji pendekatan bersesuaian untuk mewujudkan lebih nilai dan menjelang akhir tahun ini akan membuat pengumuman penting kepada pasaran untuk memberi gambaran jelas.
Dalam masa sama, katanya, FGV juga mengambil langkah komersial dan undang-undang untuk menangani isu legasi lain termasuk tindakan undang-undang yang sedang berjalan dan forensik terhadap beberapa pengambilalihan dan pelaburan.
Habis.











