KULAI – Produk coklat buatan Malaysia diyakini akan terus mendapat sambutan di luar negara apabila nilai eksport barangan tersebut menyaksikan peningkatan sejak empat tahun lalu.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, nilai eskport coklat pada tahun 2015 adalah sebanyak RM470.99 juta meningkat kepada RM598.09 juta pada tahun 2016.
Menurutnya, pada tahun 2017, nilai eksport produk itu terus menyaksikan peningkatan iaitu meningkat sebanyak RM868.60 juta dan pada tahun 2018 mencecah RM1.03 bilion.
“Coklat buatan Malaysia dieksport ke 128 buah negara membabitkan 51 pengeluar coklat tempatan menerusi pelbagai jenama coklat buatan Malaysia.
“Antara negara tersebut adalah Singapura, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat dan China,” katanya selepas merasmikan Pameran Produk Komoditi dan Pelancaran Produk Koko di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk membeli coklat buatan Malaysia yang mempunyai kualiti dan rasa yang sedap seperti dihasilkan negara luar.
Sementara itu, Teresa berkata, sektor koko negara menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun lalu dengan perkembangan positif itu didorong industri hiliran koko.
“Produk berasaskan koko dikeluarkan negara termasuklah coklat, lemak koko, serbuk koko serta pes koko dan ia diterima baik oleh pengguna antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, pada tahun lalu juga, Malaysia merupakan negara memproses biji koko kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan negara Oceania. – UTUSAN ONLINE











