SHERUN kini di Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

SHERUN kini di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHERUN yang berkonsepkan larian aktif dan santai atau fun run khusus untuk wanita diadakan buat kali pertama di Kuala Lumpur selepas kejayaan di Putrajaya. Acara di ibu kota itu disertai lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan peserta antarabangsa.

Acara yang dinamakan SHERUN Kuala Lumpur 2019 anjuran Red Adventure Sdn. Bhd. itu mendapat kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) dan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi pilihan untuk larian SHERUN kali ini diharap dapat menonjolkan ibu kota sebagai destinasi rekreasi dan sukan, kebudayaan, alam semula jadi, pengembaraan dan kepelbagaian yang terdapat pada bandar raya warisan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut hadir pada majlis pelancaran acara ini ialah Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Rudy Irwan Shukaime.

Acara SHERUN menyaksikan tiga kategori fun run mengikut jarak iaitu 3KM, 5KM dan 10KM yang mana peserta mula berlari dari Matic, Jalan Ampang ke sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Larian itu menawarkan hadiah menarik, antaranya tiket penerbangan ke luar negara, beg tangan wanita berjenama, telefon bimbit, kamera, peralatan sukan gear dan banyak lagi.

Selain SHERUN, pelbagai program lain turut diadakan bagi memeriahkan acara ini, antaranya zumba, pertandingan swafoto, trak makanan dan promosi SHEMUD Women’s 4×4 Challenge bagi menarik minat golongan wanita untuk turut serta dalam sukan ekstrem kenderaan pacuan empat roda di peringkat antarabangsa.

Dalam siri larian SHERUN 2019, tumpuan bukan hanya diberikan kepada acara fun run, namun pada masa akan datang, penganjur berhasrat menambah kepada acara separuh maraton dan larian berhalangan serta menjangkakan lebih ramai lagi penyertaan.

“Selain peserta wanita, golongan lelaki juga digalakkan untuk menyertai SHERUN bersama pasangan masing-masing, seiring dengan kempen “SHERUN, I Follow”.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, objektif penganjuran antara lain adalah untuk mempromosikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai destinasi sukan dan rekreasi yang sesuai untuk aktiviti budaya, alam semula jadi, kembara, warisan dan lain-lain.

Acara itu bertujuan memeriahkan lagi Kuala Lumpur dengan acara larian yang turut menarik ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa ke ibu kota melalui sukan pelancongan.

Ia diharap dapat meningkatkan sosio-ekonomi penggiat pelancongan di sekitar Kuala Lumpur termasuk peniaga, penjaja, pengusaha hotel, pusat pelancongan, pusat rekreasi, restoran dan pengusaha pengangkutan awam, selain memartabatkan wanita dalam acara sukan, khususnya larian yang santai dan mengujakan.

“Acara ini juga akan menggalakkan kaum keluarga untuk memberi sokongan kepada isteri, ibu, kakak, adik dan juga rakan­-rakan wanita untuk terlibat dalam sukan larian. Ia sekali gus dapat menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian dan dalam masa yang sama mampu mencabar kekuatan mental serta fizikal peserta bagi melahirkan rakyat yang sihat dan berkualiti,”kata kenyataan itu.

Selain itu, acara SHERUN dapat memupuk minat golongan wanita dari umur yang muda untuk berkecimpung dalam sukan larian dan secara tidak langsung, mereka boleh mengenal pasti bakat untuk ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini