KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, Langkawi memerlukan sebuah pasukan tentera yang besar untuk menjaga keselamatan seluruh kawasan pantai pulau tersebut.
Perdana Menteri berkata, hal ini berikutan pihak polis dan agensi penguat kuasa lain tidak mampu menjaga keselamatan pantai tersebut terutamanya aktiviti penyeludupan dadah.
“Langkawi merupakan pulau dan tempat yang orang boleh sampai ke pantai, tak boleh dijaga oleh polis dan agensi penguat kuasa lain.
“Pulau sebegitu besar, kemungkinan dadah akan masuk bukan ikut pintu biasa tapi dimana-mana sahaja. Ini perlu pasukan tentera yang besar untuk jaga seluruh pantai di Langkawi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) anjuran Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya semalam mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti. – UTUSAN ONLINE











