Ahmad Zahid ke SPRM - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid ke SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipercayai hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Menurut sumber, beliau dikatakan tiba di sini pada pukul 9.30 pagi.

Walau bagaimanapun, para wartawan yang menunggu di sini tidak pasti tujuan kehadiran Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada minggu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan Ahmad Zahid telah hadir memberi keterangan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Semalam, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah dipanggil hampir tujuh jam membabitkan kes sama.

Namun sebuah akhbar semalam melaporkan seorang menteri kanan akan didakwa ke mahkamah dalam masa terdekat atas dakwaan menerima sogokan dari sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA.

Menurut sumber, beliau dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pertuduhan dijangka dilakukan di dua mahkamah iaitu Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam kerana perbuatan itu berlaku di dua lokasi berkenaan.

Siasatan mendapati, bekas menteri itu menerima sejumlah wang sogokan daripada sebuah syarikat yang digunakannya untuk tujuan peribadi.

Untuk rekod, syarikat berkenaan adalah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Laporan akhbar itu mendedahkan, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini