KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki dipercayai hanyut sejauh 18 kilometer sebelum ditemui di perangkap sampah Batu 8, Ijok di sini semalam.
Mayat yang belum diketahui identitinya itu pada mulanya ditemui oleh orang awam hanyut di dalam sungai berhampiran jambatan Bukit Cherakah, Alam Perdana pada pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, pihaknya kemudiannya bersama bomba mengambil keputusan menunggu di perangkap sampah untuk menaikkan mayat.
Katanya, mayat itu berjaya dibawa keluar pukul 8 malam.
“Pemeriksaan awal mendapati mayat itu sudah mereput dan berbau namun tiada sebarang kesan luaran.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat lelaki yang hanya berseluar pendek itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











