Joo Ven muncul juara IS Malaysia - Utusan Malaysia

Joo Ven muncul juara IS Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN perseorangan lelaki kebangsaan, Soong Joo Ven menepati ramalan apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa (IS) Malaysia di Ipoh, Perak selepas menewaskan rakan sepasukan, Cheam June Wei semalam.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Badminton Perak itu, kedua-dua pemain menampilkan aksi yang cukup menghiburkan, namun tuah nyata menyebelahi Joo Ven apabila dia mencatat kemenangan 21-13, 22-20 dalam perlawanan yang memakan masa 47 minit itu.

Joo Ven yang juga pilihan utama kejohanan tidak berdepan sebarang masalah pada set pertama apabila mudah menewaskan June Wei 21-13 yang dilihat masih cuba menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tersentak dengan kekalahan tersebut, June Wei kembali memperkemaskan permainan pada set kedua, sekali gus menyajikan aksi menghiburkan sehingga menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu.

Aksi lebih baik yang ditampilkan June Wei berjaya meletakkan Joo Ven berada dalam keadaan tertekan, terutamanya apabila dia mendahului perlawanan 11-8 sebelum lawannya itu kembali mengejar dengan mengutip mata demi mata.

Ketika Joo Ven dilihat semakin hampir menamatkan permainan dengan mendahului 20-18, June Wei sekali lagi memaksa pemain berusia 24 tahun itu mengerah kudratnya selepas berjaya menyamakan kedudukan 20-20, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi mata penentuan.

Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki Joo Ven nyata menjadi faktor yang memisahkan dua pemain berkenaan apabila dia dilihat lebih tenang pada situasi penting itu sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya menerusi kemenangan 22-20.

Sebagai juara, pemain yang berada pada ranking ke-66 dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$750 (RM3,103), sementara June Wei meraih AS$380 (RM1572).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini