KAHERAH 23 Jun – Visi ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dimuatkan dalam ‘Perjanjian Abad Ini’ sebagai sebahagian daripada penyelesaian konflik Israel-Palestin, menerima tentangan hebat daripada negara Arab meskipun beberapa pihak di negara Teluk menyeru agar ia diberikan peluang.
Lapor Channel News Asia, pelan ‘perdamaian untuk kemakmuran’ yang bernilai AS$50 bilion (RM206 bilion) dan bakal dibentangkan oleh penasihat kanan Trump, Jared Kushner pada persidangan ekonomi di Bahrain minggu hadapan, didakwa akan meningkatkan ekonomi Palestin serta negara jiran Arab.
Namun kekurangan penyelesaian politik mencetuskan penolakan bukan sahaja daripada rakyat Palestin tetapi juga negara Arab lain.

Negara-negara seperti Sudan dan Kuwait menyifatkan pelan Kushner itu sebagai ‘membuang masa’, ‘tidak akan berjaya’ dan ‘gagal di peringkat awal’.
“Tanah air tidak boleh dijual dengan semua wang di dunia. Pelan ini adalah idea broker hartanah, bukannya ahli politik.
“Malah negara Arab tidak dapat menyatakan sokongan secara terbuka terhadap pelan itu,” kata penganalisis Mesir, Gamal Fahmy.
Sementara itu, pengulas akhbar an-Nahar dari Lebanon, Sarkis Naoum berkata, pelan ekonomi berkenaan tidak akan berjaya kerana tidak mempunyai asas politik kukuh.
Dalam pada itu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menegaskan, pelan Kushner hanyalah sebuah ‘janji berbentuk abstrak’ dan menegaskan hanya penyelesaian politik boleh menyelesaikan konflik kedua-dua pihak.
Tambah PLO, ia adalah satu rancangan untuk memberi rasuah kepada rakyat Palestin untuk menerima pencerobohan Israel.
Pelan ekonomi Kushner akan dibincangkan pada 25 dan 26 Jun tanpa kehadiran pihak berkuasa Palestin (PA) yang memboikot rancangan itu dan Israel.
Negara Teluk termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan mengambil bahagian bersama Mesir, Jordan dan Maghribi ketika Lebanon dan Iraq tidak hadir.
FATAH RANCANG ADAKAN PROTES
Dalam perkembangan berkaitan, pergerakan Fatah yang diketuai oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan rancangan untuk mengadakan protes di seluruh Tebing Barat bagi membantah persidangan ekonomi ditaja oleh AS itu.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA memetik kenyataan dikeluarkan oleh pergerakan itu sebagai berkata, satu demonstrasi telah dirancang diadakan di Dataran Manara pada tengah hari esok.
Tambah kenyataan berkenaan, ‘hari-hari mendatang menentang pencerobohan’ turut dirancang pada Selasa dan Rabu.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat dan pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza telah memboikot persidangan terbabit.
ISRAEL LULUS ROBOH RUMAH PALESTIN
Dalam perkembangan berlainan, Mahkamah Tinggi Israel dilaporkan telah meluluskan pelan untuk merobohkan 100 unit pangsapuri milik rakyat Palestin di tenggara Baitulmuqaddis Timur.
Lapor Press TV, mahkamah berkenaan mendakwa semua unit kediaman terbabit yang dibina di kawasan kejiranan Wadi Abu al-Hummus ‘memberi ancaman keselamatan’ berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan tembok sempadan.
Penduduk Palestin diarahkan merobohkan rumah mereka sebelum 18 Julai ini atau berdepan dengan denda dan membayar kos merobohkan kediaman tersebut.
Menurut Pengarah Sistem Pemetaan dan Sistem Maklumat Geografi Jabatan Pengajian Arab, penduduk Palestin sebelum ini memfailkan aduan terhadap laluan pembinaan tembok sempadan yang memasuki pusat kawasan kejiranan terbabit ketika ia mula dibina pada 2003 oleh Israel.
Rejim Zionis kemudiannya mengubah laluan pembinaan tembok itu dan seluruh kawasan kejiranan berada di dalam sempadan tembok terbabit.
Terdapat kira-kira 6,000 penduduk Palestin tinggal di situ dan kini berdepan isu kehilangan tempat tinggal. – AGENSI











