KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 individu termasuk dua pelajar ditahan selepas didapati positif dadah hasil serbuan di dua pusat hiburan di sekitar ibu negara awal pagi ini.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira 2.30 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di dua pusat hiburan yang terletak di Jalan Tun Razak dan Jalan imbi di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, serbuan pertama dilakukan di pusat hiburan di Jalan Tun Razak dan pihaknya memeriksa 30 individu terdiri daripada pekerja serta pelanggan premis terbabit.
Ujarnya, hasil pemeriksaan pihaknya menahan 18 individu membabitkan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan seorang wanita tempatan yang didapati positif dadah.
“Manakala serbuan kedua dilakukan di pusat hiburan di Medan Imbi dan pemeriksaan dilakukan terhadap 27 individu.
“Hasil saringan urin kami menahan 17 individu membabitkan tujuh lelaki dan 10 wanita didapati positif ganja serta ketamin dan dua daripadanya yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah dan pelajar kolej ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Adnan, pihaknya turut merampas dadah jenis ketamin seberat 0.20 gram daripada pengunjung pusat hiburan terbabit.
Jelasnya, kesemua suspek berusia 15 hingga 45 tahun terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tindakan lanjut.
“Semua suspek direman bagi siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah,”katanya.- UTUSAN ONLINE











