KUALA LUMPUR – Persoalan secara berterusan dan tidak menentu mengenai peralihan kepemimpinan hanya akan menjejaskan kerajaan serta menimbulkan kebangkitan politik golongan pelampau.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, sudah terlalu banyak wawancara dan artikel mengenai peralihan kuasa kepemimpinan negara daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berjanji menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, semua pihak dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) setakat ini telah bersetuju dengan peralihan kuasa dalam kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Merujuk kepada temu bual Bloomberg dengan Dr. Mahathir terutama mengenai persoalan peralihan kepemimpinan kepada Anwar . Saya ‘gembira’ mengenai laporan berterusan daripada pihak media terhadap isu ini.
“Semua parti sekarang perlu memfokuskan tenaga mereka dan menggerakkan segala usaha untuk melaksanakan janji mereka dan menetapkan dasar konkrit bagi mencapai kemakmuran bersama untuk semua. Hanya penambahbaikan yang berterusan terhadap kesejahteraan semua rakyat Malaysia dan peningkatan ekonomi secara keseluruhan sahaja dapat memastikan kelangsungan politik demokratik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Dr. Mahathir juga telah mengulangi komitmennya untuk menghormati perjanjian itu dan tidak dinafikan bahawa peralihan itu akan berlaku pada masa yang ditetapkan.-UTUSAN ONLINE











