PUSAT hiburan terkemuka, Resort World Genting sekali lagi tampil dengan persembahan luar biasa yang menggabungkan bakat penghibur bertaraf dunia dalam permentasan terbaharunya, Imaginatricks.
Bukan sekadar persembahan antarabangsa, teater muzikal penuh aksi yang dibuka untuk tontotan pada 25 Mei lalu merupakan antara seni pentas akrobatik
terbaik di dunia.
Imaginatricks yang dianggotai oleh pakar lagak ngeri, akrobatik, peluncur ais, silap mata, badut dan penghibur yang memegang pelbagai rekod dunia dan anugerah
berprofil tinggi menghasilkan hiburan sarkas yang cukup memukau.
Pementasan oleh penghibur dari 15 negara itu dibuka dengan aksi mencuit hati oleh Oleksii Krasnykh, badut dari Ukraine yang terkenal dengan bakat pantomim dan mimikan bunyi. Bukan sembarangan badut, Oleksii merupakan juara Grand Prix Festival Badut Antarabangsa Comediada.
Pentas yang dihidupkan dengan kesan visual berwarna-warni itu kemudiannya dipukau oleh aksi peluncur ais profesional Aleksander Popov dan Elena Efaeva. Pasangan yang pernah mewakili Russia dalam pelbagai kejuaraan luncur ais di peringat dunia.
“Meluncur di atas permukaan pentas yang diubah untuk sukan ini bukan sesuatu yang mudah tapi dalam Imaginatricks, kami berjaya tampilkan keindahannya,’’ katanya.
Dewan Antarabangsa Genting (GIS) seterusnya dihangatkan dengan akrobatik sukan
melalui kelincahan aksi bola keranjang gaya Slum Dunk oleh kumpulan Face Time. Pasukan dari Hungary ini merupakan pemegang sembilan aksi akrobatic dalam Rekod Dunia Guinness.
Kemuncak tayangan Imaginatricks yang pasti membuatkan adrenalin penonton bergelodak adalah lagak ‘berani mati’ oleh 12 anggota pasukan The Gerlings dari Colombia.
Persembahan sarkas penuh drama oleh juara Festival Antarabangsa Sarkas Monte Carlo itu mempamerkan pelbagai kemahiran mengimbangi badan di atas tali sambil berlari, berbasikal dan imbangan kerusi.
Debaran menyaksikan The Gerlings diakhiri dengan aksi Piramid Manusia dan lagak ngeri di atas Wheels of Suspense.
Persembahan hasil gubahan Abraham Kostanian, koreografer persembahan pentas yang berpengalaman lebih dari 35 tahun di seluruh dunia ini ditayangkan pada pukul 8
malam setiap hari kecuali Ahad pada 4 petang.
“Pementasan sarkas muzikal seperti ini biasanya dimainkan di pusat-pusat hiburan terkemuka di Amerika Syarikat dan Eropah. Kali ini Resort World Genting membawakan Imaginatricks, persembahan yang mungkin terbaik di dunia ketika
ini,’’ kata Abraham.
Harga tiket bagi produksi pentas Imaginatricks yang akan ditayangkan sehingga 24
Mei 2020 ini dijual pada harga RM196 dengan pelbagai harga pakej dan promosi. Layari laman web www.rwgenting.com untuk maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE











