PASIR SALAK – Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak memukul teman lelaki isterinya sehingga mati menggunakan kayu berpaku dalam kejadian di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang juga duda orang kurang upaya (OKU), Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintenden Nik Rosdi Nik Yahya berkata, anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) dihantar ke tempat kejadian setelah menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 2.40 petang.
Katanya, setibanya anggota di lokasi tersebut, didapati suspek yang berusia lingkungan 40-an sedang memukul mangsa dan dia kemudiannya segera diberkas.
“Kejadian berlaku di hadapan rumah isteri suspek yang ketika itu dihantar pulang oleh mangsa. Suspek telah bertindak menyerang dengan memecahkan cermin kereta mangsa sebelum menariknya keluar.
“Suspek memukul mangsa menggunakan kayu yang berpaku sehingga mati. Isteri suspek yang cuba menghalang bagaimanapun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nik Rosdi, siasatan awal mendapati punca kejadian akibat cemburu apabila suspek mengesyaki isterinya ada menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Katanya, pasangan suami isteri yang mempunyai enam anak itu bagaimanapun telah setahun tidak tinggal bersama dan mereka difahamkan dalam proses untuk bercerai.
“Hasil daripada tindakan pantas pihak MPV berjaya memberkas suspek dan dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











