KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, tidak sesuai baginya untuk masuk campur dalam sebarang tindakan saman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Namun begitu, kata Presiden PKR itu, beliau ada memberikan pandangan peribadi kepada Mohamed Azmin dari semasa ke semasa.
“Itu adalah keputusan Mohamed Azmin dan peguamnya. Saya fikir tidak sesuai untuk saya masuk campur. Begitupun, saya akan beritahu pandangan peribadi saya kepada beliau dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Haziq Abdullah seperti dilaporkan oleh akhbar Sunday Star hari ini mencabar Mohamed Azmin untuk membuktikan tidak terlibat serta menyaman dirinya dalam isu video seks sejenis yang tersebar baru-baru ini.
Sementara itu, jelas Anwar, tindakan Mohamed Azmin yang sering tidak hadir mesyuarat sejak tercetusnya isu video tersebut merupakan isu berbeza kerana apa lebih penting PKR menolak budaya politik kotor.
“Beliau tidak datang mesyuarat adalah adalah isu berbeza, pendirian parti dari awal adalah menolak budaya politik kotor. Kita juga tidak berminat menyoal beliau tentang kandungan video itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE











