KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini melaksanakan program penanaman pokok di beberapa kawasan di sekitar ibu negara dalam usaha mengurangkan kesan rumah hijau sehingga 70 peratus menjelang 2030 di Kuala Lumpur.
DBKL menerusi catatan di Facebook berkata, antara kawasan yang terlibat ialah Taman Rimba Bukit Kerinchi, Lembah Pantai dan Dataran Wangsa Melawati, Setapak di sini.
“Selain itu, program penanaman pokok ini juga merupakan langkah kerajaan menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Taman Tropika Lestari menjelang 2020 melalui Pelan Penghijauan Kuala Lumpur dan Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030,” katanya.
Program itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi, Datuk Ibrahim Yusoff. – UTUSAN ONLINE











