PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini memberi keterangan kira-kira tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ‘land swap’ tanah milik Kementerian Pertahanan yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Beliau yang tiba di ibu pejabat SPRM di sini menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam pada pukul 11 pagi, dilihat keluar dari bangunan itu pada pukul enam petang.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan menegaskan, tiada apa yang hendak disembunyikan.
Menurutnya, beliau juga bersedia untuk didakwa jika didapati bersalah.
“Kalau saya salah dakwa, tapi jangan dakwa saya seorang kerana apa yang kita nak tengok ialah keadilan. Kalau salah tetap salah tidak kira siapa, cuma nak ingatkan semua pihak janganlah siasatan dan pendakwaan dibuat secara terpilih
“Kalau mahu berbicara mengenai ‘land swap’, biarlah siasat mengenai kesemua 16 pertukaran tanah itu. Saya jawab secara terperinci mengenai kem Paloh di Sembrong hari ini.
“Tapi (siasatan) jangan berhenti di situ, kerana laporan membabitkan 16 kes pertukaran tanah, mari kita lihat siapa dalangnya, siapa yang bersalah kerana kita mahu kebenaran terungkai,” jelasnya kepada pemberita yang berada di perkarangan bangunan ibu pejabat SPRM sejak pukul 9 pagi lagi.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, SPRM harus turut memanggil menteri atau bekas menteri atau Perdana Menteri yang terbabit dalam kes land swap berkenaan.
“Apa yang istimewa sangat tentang kes saya, siapa yang sebenarnya hilang duit, siapa kontraktor yang diberi projek land swap sebelum ini, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat
“Saya tidak dapat apa-apa manfaat daripada pertukaran tanah ini. Apa yang saya lakukan hanya demi kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka, kalau setakat nak tuduh, berilah cadangan apa yang boleh dilakukan untuk kebajikan anggota ini,” katanya.
Hishammuddin turut mengesahkan tiada kenyataan diberikan kepada SPRM berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 hari ini.
Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah hadir memberi keterangan berhubung ‘land swap’ berkenaan.
Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.
Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan dua individu direman selama enam hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.
Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – UTUSAN ONLINE











