IPOH – Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Mokhamad Ngifni Abdul Basir, 33, tidak sempat mengimamkan solat Zuhur apabila dia meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 18, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Mokhamad Ngifni yang juga pensyarah tahfiz di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mokhamad Ngifni yang menunggang motosikal berasingan bersama abang dan seorang rakannya dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke Ipoh.
Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa difahamkan hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit dan berselekoh sebelum dia terjatuh dan terhumban ke kanan jalan lalu melanggar bahagian luar tayar sebuah lori yang sedang menuju ke Cameron Highlands.
Motosikal yang ditunggang abang dan rakannya yang berada di belakang sempat mengelak dari melanggar mangsa namun seorang daripada mereka cedera ringan.
Bapa saudara mangsa, Abd. Munir Mohamed Noh, 43, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11.45 pagi oleh abang sulung Mokhamad Ngifni yang memberitahu adiknya meninggal dunia dalam kemalangan.
Katanya, ketiga-tiga mereka bertolak ke kawasan peranginan itu selepas mangsa selesai mengimamkan solat Subuh di Masjid Sultan Azlan Shah dan dijadualkan pulang sebelum solat Zuhur.
“Arwah pergi ke Cameron Highlands untuk beriadah bersama abang dan rakannya yang juga bilal masjid tersebut dan sepatutnya solat Zuhur tadi, dia yang akan menjadi imam.
“Dia baru setahun menjadi imam di masjid itu dan dia sememangnya dikenali sebagai seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Menurut Abd. Munir, jenazah anak saudaranya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya selepas solat Isyak.
Mokhamad Ngifni meninggalkan seorang isteri, Juwariyah Sulaiman, 32, dan empat anak, Niswatul Iffah, 6; Niswatul Jannah, 4; Muhamad Al-Fateh, 3, dan Niswatul Aafiah enam bulan. – K! ONLINE











