‘Biro Politik buat keputusan, kita akurlah’ - Utusan Malaysia

‘Biro Politik buat keputusan, kita akurlah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGUAN: Boleh ulas keputusan Lembaga Disiplin PKR terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz?

JOHARI ABDUL: Seperti yang telah diputuskan oleh Biro Politik PKR, parti telah membuat keputusan bahawa satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada (Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong), Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dalam sistem parti, dia masih lagi ahli. Ini berikutan kenya­taan yang dia keluarkan dan ekoran pendedahan pengakuan yang dia bersama seorang menteri (dalam video intim) dan sebut nama menteri itu.

Ini membolehkan parti mengambil tindakan kerana dia telah mencemarkan nama baik parti. Tindakan ini diambil oleh kerana dia mengaku yang (pe­ngakuan) ini dibuat secara sukarela, jadi sudah tentulah ia memerlukan penyiasatan. Sebab itulah Biro Politik (PKR) telah mengarahkan supaya Lembaga Tatatertib mengambil tindakan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada yang mempersoalkan mengapa tindakan tidak dikenakan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR)?

Sebagai sebuah parti yang mempunyai kewibawaan dan mengikut lunas undang-undang dan dalam kes ini, Mohamed Azmin tidak mengaku (individu dalam video intim). Oleh kerana beliau tidak mengaku, adalah tidak adil untuk kita mengambil tindakan kepada beliau.

Jadi biarlah kita menyerahkan siasatan ini kepada pihak berwajib khususnya polis sehingga selesai dan selepas itu barulah Biro Politik PKR akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memberi keadilan. Setakat ini, itulah keputusan yang diambil.

Tidakkah perbezaan pendapat ini seolah-olah seperti wujudnya dua puak dalam PKR?

Saya tidak melihat begitu (dua puak). Ini adalah panda­ngan masing-masing dan sesiapa juga boleh memberikan pandangan dan kita tidak halang mana-mana pihak, cumanya bila keputusan parti tertinggi dalam kes ini, Biro Politik (PKR) telah membuat keputusan, kita kena akurlah.

Boleh jelaskan tentang ugutan dan manuskrip sebuah buku yang didedahkan?

Ada tiga isu yang saya bangkitkan. Isu pertama adalah pengarangnya menulis sebuah buku yang sarat dengan fitnah.

Tiga fitnah ini ialah (pertama) menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang homoseksual yang tegar. Banyak kali diulang-ulang, walaupun tanpa bukti, dia mengambil daripada sumber macam-macam tanpa fakta langsung.

Keduanya, penulis mengatakan Anwar seorang ejen zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) tanpa bukti, hanya mengambil daripada sumber ter­tentu.

Ketiganya (menuduh) Anwar amat rasuah dengan penulisnya memberi contoh bagaimana (bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia), Datuk Abdul Murad Khalid, pernah membuat kenyataan kononnya Anwar mempunyai ratusan akaun bank dan mempunyai wang sebanyak RM3 bilion yang tidak pun dibuktikan oleh mahkamah bahawa wang itu wujud dalam akaun dinyatakan.

Berdasarkan perkembangan semasa, bagaimana laluan dan cabaran Anwar untuk menjadi Perdana Menteri?

Anwar sudah melalui pelbagai dugaan, kena pukul, tumbuk, fitnah dan macam-macam lagi tetapi masih lagi walk tall (percaya diri sendiri). Beliau merupakan manusia luar biasa, tidak menyimpan dendam (walaupun pernah dipenjarakan), sebaliknya beliau meneruskan kehidupan seperti biasa. Selepas tahanan (dipenjara) kali pertama, beliau bertanding sebagai Ahli Parlimen, kemudian ditahan (dipenjara) lagi selama lima tahun, dan seminggu selepas itu, beliau menjadi semula Ahli Parlimen.

Jarang berlaku manusia secekal ini, dua kali ditahan, dua kali keluar (penjara) dan dua kali jadi Ahli Parlimen dan beliau tidak rasa marah atau dendam sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa dan mengajak rakyat meninggalkan masalah dan teruskan dengan kehidupan.

Saya bersama Anwar sejak universiti dan inilah Anwar yang saya kenal sejak 1976, saya pelajar dan beliau waktu itu baru keluar tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dari hari itu sehingga sekarang, saya lihat beliau tidak berubah sikap. Saya yakin kalau diizinkan Allah SWT, rakyat Malaysia berpeluang memperoleh seorang Perdana Menteri yang memahami kita semua. Kalau dianggap proses getir dalam kehidupan, beliau boleh menjadi pemimpin yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini