KUALA LUMPUR – Sebanyak 59 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan kesalahan lampu High Indensity Discharge di dua lokasi di sini, semalam.
Ketua Seksyen Operasi JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi yang bermula pukul 8 malam itu dilakukan di dua lokasi iaitu Jalan Genting Kelang dan Plaza Tol Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) Salak Selatan.
“Sebanyak 684 buah kenderaah telah diperiksa dan sebanyak 362 notis telah dikeluarkan.
“Objektif penguatkuasaan operasi ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan larangan penggunaan lampu HID dan memastikan supaya pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan standard piawaian berkaitan penggunaan lampu HID yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Kamarunzaman, penggunaan lampu HID yang tidak dibenarkan akan membahayakan pengguna jalan raya kerana menyebabkan kesukaran melihat akibat silau
Tambahnya, penggunaan lampu HID yang tidak mematuhi spesifikasi akan dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 – Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan Dan Penggunaan). – UTUSAN ONLINE











