KUALA LUMPUR – Kos operasi dijangka menjadi lebih rendah sekiranya kerajaan membuat pengambilalihan empat lebuh raya bertol daripada syarikat konsesi tempatan.
Pakar ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, hal itu akan memberi faedah kepada rakyat kerana kadar caj tol juga mungkin akan dapat dikurangkan daripada kadar sedia ada.
“Pada dasarnya, memang elok kalau kerajaan hendak ambil alih empat konsesi tol ini.
“Ia dapat mengurangkan bayaran tol kepada pengguna disebabkan kos operasi menjadi lebih rendah,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.
Menurut Guan Eng, tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Bhd. selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.
Ketika ditanya mengenai caj kesesakan yang akan diperkenalkan pada Januari 2020, Abu Sofiyan berkata, hal itu adalah tidak wajar dan agak susah hendak dilaksanakan.
Ini kerana, katanya akan berlaku ketidakadilan kepada pengguna lebuh raya berdasarkan tempoh masa dan situasi semasa yang membabitkan kesesakan.
“Apa definisi kesesakan? Biasanya kesesakan disebabkan oleh kemalangan dan kepadatan kenderaan pada sesuatu masa terutama masa waktu puncak. Adakah itu merupakan kesalahan pengguna jalan raya?,” katanya.
Abu Sofian malah memberitahu, sepatutnya kerajaan perlu mengurangkan caj bayaran tol kepada amaun yang minimum.
Katanya, kutipan itu hendaklah berupa kutipan tol yang boleh menanggung kos penyelenggaraan jalan raya dan juga operasi. – UTUSAN ONLINE











