KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu giat memerangi habis-habisan gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini dengan tumpuan di beberapa kawasan panas sekitar negeri ini iaitu daerah ini, Besut, Kemaman dan Marang.
Atas komitmen itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berjaya membuat rampasan dadah terbesar di negeri ini setakat ini dengan penangkapan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM81,195.
`
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek yang dipercayai berperanan sebagai `orang tengah’ itu ditangkap kira-kira pukul 1 pagi Khamis lalu di hadapan sebuah kedai makan di kampungnya, Kampung Titian Baru dekat sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas motosikal suspek jenis Yamaha Nouvo berwarna merah putih, polis menemukan sejumlah dadah yang disorok di tempat menyimpan barang di bawah tempat duduk motosikalnya.
“Polis menjumpai satu beg plastik berwarna hitam berisi satu bungkusan plastik yang mengandungi ketulan kristal disyakki dadah jenis syabu (methamphetamine) seberat 1,018.10 gram.
“Turut dijumpai dua bungkusan plastik lut sinar dengan setiap satu berisi 10 paket plastik biru mengandungi sejumlah biji disyaki pil kuda (methamphetamine) dengan berat 400.12 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Aidi berkata, selain itu, satu beg plastik berwarna ungu berisi tiga botol air minuman 500 ml yang mengandungi cecair kehitaman disyaki dadah jenis Kodein seberat 1.5 liter.
Beliau memberitahu, polis turut menyita wang tunai campur-campur RM1,150 dan suspek direman tujuh hari berakhir 26 Jun ini manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam satu lagi tangkapan, katanya, seorang penganggur berumur 25 tahun diberkas kira-kira pukul 12 tengahari di bawah garaj sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong di sini Rabu lalu.
Menurut Aidi, daripada suspek, polis menemukan satu bungkusan kertas surat khabar berisi tiga paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis syabu (methamphetamine) seberat 154.30 gram bernilai RM10,500.
Beliau memberitahu, lelaki yang tinggal di alamat di Kampung Padang Hiliran di sini itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini termasuk mengesan kemungkinan ada lagi yang terbabit,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











