Kampung Kuala Koh masih zon merah - Utusan Malaysia

Kampung Kuala Koh masih zon merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kawasan penempatan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini masih dikuatkuasa sebagai zon merah biarpun 15 jenazah yang terkena wabak selamat dikebumikan hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintanden Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya masih menunggu arahan untuk membebaskan kampung itu sebagai kawasan selamat selepas berlaku jangkitan wabak demam campak lebih sebulan lalu.

Katanya, kampung berkenaan masih belum selamat dan orang ramai masih tidak dibenarkan memasuki kawasan itu sejak dikuatkuasakan 12 Jun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang ramai yang ingin memasuki kawasan itu hanya dibenarkan setakat Felda Aring 10 sahaja kerana laluan itu dikawal oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita masih menunggu arahan selanjutnya untuk membebaskan kawasan Kampung Kuala Koh sebagai kawasan selamat bergantung kepada keputusan pihak Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah semua mangsa di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, wabak penyakit itu berbahaya dan mudah berjangkit jika tidak dikawal serta memakai pakaian khas.

Katanya, beliau menasihatkan semua pihak agar terus mematuhi arahan larangan itu.

Dalam kejadian lebih sebulan lalu, seramai 15 Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, meninggal dunia dipercayai terkena jangkitan paru-paru dan wabak measles atau demam campak.

Sebanyak 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Bateq di Kampung Kuala Koh di sini disahkan menghidap demam campak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas seramai 170 daripada 185 (92 peratus) penduduk Kampung Kuala Koh yang telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini