KUANTAN – Pahang masih mengamalkan permainan berhati-hati terutamanya selepas kehilangan pemain utama Dickson Nwakaeme akibat kecederaan semasa bertemu Perak pada aksi separuh masa pertama Piala FA semalam.
Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh berkata corak permainan itu juga nyaris membawa padah kepada Tok Gajah kerana membuka peluang kepada Perak untuk memperoleh satu gol pada perlawanan yang berkesudahan 3-1.
“Kita bermain dengan baik pada separuh masa pertama apabila sering melancarkan serangan dan berjaya memperoleh dua gol, sehingga kehilangan Nwakaeme pada minit ke-32.
“Perak memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan satu gol sebelum kita cuba bangkit, malangnya ketandusan jaringan sehingga gol ketiga pada minit akhir yang tidak dijangka,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Pahang membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi pertahanan import Harold Mark Goulon sebelum Mohamadou Sumareh melebarkan jurang pada minit ke-39 menerusi sepakan yang berjaya mengelirukan penjaga gol Perak Muhammad Hafizul Hakimi.
Gol tunggal Perak diperoleh pada minit ke-53 menerusi penyerang K. Partiban namun The Boss Gaurus yang lebih agresif pada separuh masa kedua bagaimanapun terpaksa akur apabila Goulon berjaya memperoleh gol ketiga Pahang pada minit ke-92.
Dollah berkata jaringan saat akhir itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya kerana akan membantu Pahang apabila bertandang ke Perak bagi melengkapkan aksi perlawanan kedua Piala FA.
“Kita masih ada 90 minit perlawanan dan Perak pula mempunyai kelebihan satu gol di tempat lawan…Saya boleh kata ia bukan satu perlawanan yang mudah dan kita perlu lebih bersedia,” katanya.
Sementara itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui sukar untuk mereka menerima kekalahan itu memandangkan semua pemainnya mempamerkan permainan yang baik, terutamanya dengan mereka memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua.
“Walaupun tewas, ini masih perlawanan yang menarik dan kita perlu kekal positif, saling percaya dan bantu-membantu sebagai sebuah pasukan profesional untuk kembali bangkit pada aksi seterusya,” katanya.-BERNAMA











