ALOR SETAR – Masalah dadah di Pulau Langkawi disifatkan sudah parah meskipun pihak berkuasa telah menjalankan tugas dengan baik dalam membanteras pengedaran dan penagihan barang terlarang tersebut selama ini.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, masalah itu bukan perkara baharu malah berlarutan sejak sekian lama khususnya apabila pengedar-pengedar dadah besar ini masih bebas membekalkan barangan terlarang itu kepada ‘tokan’ yang menjualnya termasuk kepada kanak-kanak.
Katanya, masalah tidak akan selesai sekiranya hanya tangkap ‘budak-budak’ hisap dadah ini kerana apa yang lebih penting adalah memberkas orang tengah dan pengedar utama.
“Saya lihat dadah ini sangat mudah masuk, di Langkawi sahaja terdapat beribu-beribu nelayan dengan 4,000 ke 5,000 buah bot, kita pun tidak tahu hendak beza yang mana satu nelayan atau ada yang mengambil kesempatan mengedar dadah.
“Masalah hanya akan selesai jika pengedar utama ini dapat ditangkap dan bukan tertumpu kepada ‘budak-budak’ hisap dadah sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya hari ini mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.
Menurut beliau, perkara tersebut juga telah disuarakan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.
Sementara itu, Nawawi mencadangkan agar pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Marin (PPM) ditambah kekuatan bagi melakukan pemantauan dan kawalan secara berterusan di kawasan sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Selain itu katanya, masalah dadah ini juga menjadi antara punca peningkatan aktiviti jenayah di pulau peranginan itu seperti kes pecah rumah dan merompak.
“Rumah saya di kampung sebelum ini juga pernah dipecah masuk oleh penjenayah yang dipercayai memerlukan wang untuk membeli dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











