Cabaran sengit PH - Zahid - Utusan Malaysia

Cabaran sengit PH – Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Gabungan UMNO dan Pas diijangka beri cabaran sengit kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu mampu menjadikan kerjasama antara dua parti tersebut lebih kukuh seterusnya memberi cabaran hebat kepada PH yang kini dihantui pelbagai kemelut.

Menurutnya, rakyat juga sudah mula mempersoalkan kegagalan kerajaan yang ada dalam menunaikan janji hingga menjejaskan sendiri reputasi mereka di mata rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tunggu sahaja ketikanya apabila gabungan Melayu-Islam di antara UMNO dan Pas memberikan cabaran sengit kepada mereka.

“Kita lihat bagaimana kerjasama ini berhasil di (Pilihan Raya Kecil) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Kebangkitan ini tidak boleh disekat kerana rakyat makin sedar betapa keselesaan dan kemakmuran yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) selama 62 tahun, dimusnahkan oleh PH dalam setahun,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut mengenai hubungan UMNO-Pas, Ahmad Zahid berkata, UMNO berterima kasih kepada parti Islam itu kerana sudi bekerjasama selepas sekian lama ‘bersengketa’.

“Itu sejarah. Namun kesedaran kedua-dua pihak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kebangkitan kepada perjuangan serumpun di negara ini tanpa mempersoalkan hak bangsa lain, kami akan terus membela, mempertahan dan mengembalikan hak yang dirampas,” tegas beliau.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau sedar kerjasama itu mendapat kecaman banyak pihak terutamanya DAP yang menuduh gabungan tersebut untuk mewujudkan negara Taliban dan mengancam kestabilan negara.

“Mereka bimbang kerana mereka sudah mulai nampak keberkesanannya (gabungan UMNO-Pas) di samping menggugat politik mereka.

“Dengan itu, saya menggesa orang Melayu dan rakyat agar tidak lagi tertipu dengan janji, pembohongan dan dakyah yang ditaburkan oleh PH demi masa depan generasi sekarang dan akan datang,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini