Defisit sokongan, kepercayaan rakyat terhadap PH - Utusan Malaysia

Defisit sokongan, kepercayaan rakyat terhadap PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak memegang tampuk kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu sehingga ke hari ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal melaksana manifesto yang telah dijanjikan, malah telah merosakkan insitusi pentadbiran awam yang selama ini menjadi elemen semak dan imbang seperti SPRM melalui lantikan politik.

Peranan SPRM telah dimanipulasi dan dicabul kerajaan sebagai instrumen untuk melemahkan UMNO. Ketidaktelusan kerajaan dalam konsep ‘rule of law’ dapat dilihat apabila tiada perkembangan dalam kes rasuah pemimpin DAP dalam projek terowong Pulau Pinang dan kes rasuah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR seperti yang dilaporkan Rafizi.

Itu belum lagi menyentuh soal kegagalan kerajaan menangani masalah yang dihadapi rakyat seperti peningkatan kadar pengangguran, kenaikan harga barang, peningkatan tarif elektrik dan pelbagai lagi. Kadar pengangguran golongan belia Malaysia adalah tinggi iaitu 10.8 peratus kerana tiadanya inisiatif kerajaan untuk membantu golongan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan sahaja golongan B40 yang terbeban untuk memiliki rumah yang semakin mahal, malah golongan M40 juga terkesan. Sehingga hari ini, tiada usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS 

Kestabilan ekonomi juga menjadi taruhan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan akan menjual lagi aset-aset penting negara, berlakunya penurunan taraf Petronas oleh Moody’s Investors Service kepada A2 daripada A1 yang telah mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’ serta peningkatan hutang negara yang drastik.

Risiko kepada ketidakstabilan ekonomi telah berlaku sejak Mei 2018 apabila rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh teruk daripada AS$109.4 bilion kepada AS$102.1 bilion pada Januari 2019. Bloomberg juga telah menggelarkan saham Malaysia sebagai paling corot di dunia.

Kerajaan PH yang selama ini menggunakan slogan ‘Selamatkan Malaysia’ terbukti merosakkan kehidupan rakyat apabila saiz kakitangan awam juga ingin dikurangkan serta pekerja kontrak pembersihan diberhentikan.

Isu hangat seperti sijil palsu yang melibatkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Bekas Menteri Besar Johor, Dato Osman Sapian masih senyap sehingga ke hari ini dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan atas penipuan kelayakan ini.

Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menerbitkan Bon Panda daripada China sebagai pinjaman untuk pembangunan negara adalah tindakan yang akan meningkatkan hutang negara. Perlu diingatkan, kerajaan telah pun membuat pinjaman daripada Jepun melalui Bon Samurai yang berjumlah RM7.3 bilion.

Kerajaan PH juga gagal dalam agenda untuk memperkasakan serta melindungi orang Melayu apabila Peguam Negara, Tommy Thomas mengeluarkan kenyataan untuk bersetuju mengiktiraf sijil UEC untuk kelayakan menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP). Kes rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang mengorbankan anggota bomba Muhammad Adib seolah-olah tiada pembelaan sehingga hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching yang mahu semua bangsa memberi cadangan untuk penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah telah menimbulkan kerisauan dan kegusaran terhadap masyarakat Islam di negara ini. Hal ini jelas melanggar ketertinggian Perlembangaan Persekutuan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi.

Paling menyedihkan dan mengecewakan ialah kerajaan tidak menawarkan program biasiswa MyBrain15 pada tahun ini yang menjadi bantuan kewangan utama kepada para graduan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Pada tahun 2016, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, hampir 20,000 calon telah menerima bantuan biasiswa sebagai langkah kerajaan untuk meningkatkan jumlah golongan intelektual di negara ini.

Terlalu banyak kelemahan dan kerosakkan yang dilakukan kerajaan PH untuk disenaraikan yang dilihat semakin menggadaikan masa depan negara dan rakyat. Ke manakah hala tuju negara dan nasib rakyat Malaysia dibawah PH?

Kini terbukti kerajaan PH bukanlah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat, malah merosakkan masa depan rakyat. Hari demi hari, rakyat semakin terbeban dengan tiadanya pembelaan daripada kerajaan.

Dr. Najmil Najmil Faiz Mohamed Aris

Exco Pergerakan Pemuda UMNO

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini