Lelaki maut dalam kemalangan tiga motosikal - Utusan Malaysia

Lelaki maut dalam kemalangan tiga motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga motosikal di Jalan Kota Samarahan-Kampung Baru, Kuching, Sarawak malam kelmarin.

Utusan Borneo melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Razmin Haron, 21, berasal dari Senari, Jalan Bako.

Alexson berkata, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri apabila dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh dua motosikal yang diparkir di tepi jalan tersebut sekitar pukul 10 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati salah sebuah motosikal telah kehabisan minyak dan sebuah lagi motosikal yang ditunggangi dua individu berhenti di tepi jalan untuk membantu.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu melanggar kedua-dua motosikal dan tiga individu yang berada di tepi jalan itu.

“Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Tambahnya, tiga lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini