IPOH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) cenderung menggagalkan mesyuarat UMNO Bahagian.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gerik, Dr. Ahmad Safwan Mohamad berkata, Saarani cuba menagih simpati murahan dengan meletakkan UMNO sebagai ‘mangsa’ kepada polisi kerajaan negeri.
Ahmad Safwan berkata, polisi itu tidak membenarkan UMNO menggunakan dewan orang ramai, dewan serbaguna dan ‘arena square’ bagi mengadakan mesyuarat parti.
“Hakikatnya, Saarani cuba menyembunyikan fakta bahawa arahan itu bukan sahaja terpakai kepada UMNO atau mana-mana parti pembangkang, malahan parti-parti komponen Pakatan Harapan sendiri pun tidak dibenarkan menggunakan kemudahan awam berkenaan untuk tujuan politik.
“Premis-premis itu adalah milik kerajaan, bermakna ia adalah hak orang ramai dan hak rakyat. Jadi, bukannya untuk digunakan oleh parti politik dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi secara eksklusif oleh UMNO seperti yang berlaku sebelum ini semasa ia berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Safwan berkata, Saarani juga sama sekali tidak menyebut mengenai pendirian kerajaan negeri Pakatan Harapan yang membenarkan semua parti politik termasuk UMNO untuk menggunakan kemudahan-kemudahan itu bagi aktiviti-aktiviti kemasyarkatan seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan melainkan kegiatan politik.
“Jadi, persoalannya di sini, adakah keputusan mengembalikan hak kemudahan itu kepada rakyat dan menamatkan hak eksklusif UMNO menggunakan kemudahan orang ramai adalah satu bentuk penganiayaan? Kami pulangkan soalan ini kepada beliau untuk dijawab.
“Rakyat boleh menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Rakyat adalah saksi bagaimana premis kerajaan pernah ‘dirogol’ semahunya tanpa dibayar sewa oleh mereka. Kini, mereka mahu memberikan ceramah tentang pengurusan kewangan, dalam keadaan merekalah yang menyebabkan perbelanjaan negeri berada dalam keadaan defisit sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











