14 penduduk Alor Setar disyaki menghidap Chikungunya - Utusan Malaysia

14 penduduk Alor Setar disyaki menghidap Chikungunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seramai 14 penduduk yang berada di deretan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza di sini disyaki menghidap penyakit Chikungunya selepas mengalami demam, sakit sendi dan ruam dengan gejala awal bermula pada 9 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, Jabatan Kesihatan negeri dimaklumkan berhubung kluster kes itu yang ditularkan melalui media sosial pada semalam.

“Siasatan telah dijalankan dengan segera oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan siasatan awal mendapati 14 pesakit dikesan di sekitar rumah kedai tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang berusia antara 35 hingga 50 tahun itu mengalami tanda-tanda sejarah demam, sakit sendi yang teruk dan ruam dengan gejala  awal bermula pada 9 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kebanyakkan pesakit mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta di sekitar Alor Setar dan keadaan mereka semua stabil. 

“PKD Kota Setar tidak menerima sebarang notifikasi kes berkaitan,” ujarnya.
Menurut Norhizan, siasatan awal berdasarkan tanda dan gejala berkenaan, pihaknya mengesyaki pesakit terlibat menghidap Chikungunya.

“Jabatan Kesihatan negeri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mereka menghidap penyakit lain.   

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh,” jelasnya. 

Ujar beliau, PKD telah dan sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan seperti pengesanan kes secara aktif serta melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kawasan terlibat.

“Kita juga membuat promosi kesihatan kepada penduduk setempat termasuk meminta mereka mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam,” katanya.

Tambahnya, penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes iaitu nyamuk sama yang menyebarkan penyakit denggi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini