KUALA LUMPUR – Berikutan tindakan saman pelucuthakan sivil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap UMNO serta beberapa individu dan entiti lain bagi mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), UMNO mungkin dibubarkan dan menubuhkan sebuah parti politik baharu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Hasni Mohammad berkata, UMNO juga tidak menolak kemungkinan menyertai parti-parti sedia ada jika parti Melayu itu dibubarkan.
Hasni berkata, itu merupakan antara langkah yang sedang dipertimbangkan pihaknya setakat ini.
“Sekiranya kerajaan membubarkan UMNO, apa yang dibubarkan adalah parti tetapi mereka tidak akan dapat membubarkan semangat ahli UMNO.
“Kita akan pastikan lebih tiga juta ahli UMNO ini tidak menjadi orang tanpa parti, sama ada tubuh parti baharu atau menyertai parti sedia ada, namun bukan parti daripada kerajaan sedia ada,” ujarnya seperti dipetik laporan The Star Online.
Hasni berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Pulai, Johor semalam.
Beliau juga menyifatkan tindakan terkini SPRM adalah salah guna kuasa memandangkan agensi antirasuah itu telah pun membekukan akaun parti itu tahun lepas.
Namun katanya, UMNO masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada SPRM mengenai saman pelucuthakan sivil berkenaan.
Beliau juga menegaskan walaupun tindakan diambil terhadap UMNO, parti akan tetap relevan dalam landskap politik negara.
Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.
Wang berkenaan diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mana sebahagian besarnya iaitu sebanyak RM230 juta disalurkan kepada UMNO. – UTUSAN ONLINE











