KUALA LUMPUR – Seramai 1,727 perajurit muda berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki bagi siri ke-188/18 yang berlangsung selama enam bulan sejak 23 November tahun lalu hingga hari ini.
Serentak dengan itu, satu Perbarisan Tamat Latihan diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Bandar Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.
Sepanjang tempoh latihan tersebut, perajurit muda dibentuk agar mempunyai keperibadian tentera, kekuatan mental dan fizikal menerusi beberapa komponen utama yang diuji antaranya seperti pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, latihan kemahiran perang serta pengukuhan aspek kerohanian bagi yang beragama Islam manakala, kelas Moral bagi penganut bukan Islam.
Seramai lima perajurit muda berjaya menerima anugerah seperti kategori berikut:
(1) Perajurit Muda (PM) Keseluruhan Terbaik:
PM Muhamad Shahriman Ab. Razak yang berumur 19 tahun dan berasal dari KotaBharu, Kelantan. Beliau telah mempamerkan sikap sebagai pemimpin yang berdedikasi tinggi, mempunyai kesungguhan, kebolehan, kegigihan serta inisiatif yang tinggi di dalam semua aspek latihan disamping kecemerlangan dalam setiap ujian yang dilaksanakan.
(2) AkademikTerbaik:
PM Muhammad Fahimi Mohammad Nadzir (20 tahun dan berasal dari Sik,Kedah).
(3) Kecergasan Jasmani Terbaik:
PM IskandarZulkarnain Abdul Manan (20 tahun dan berasal dari Kluang,Johor).
(4) Kawad Terbaik:
PM Mohd. Sakirin Khairani (23 tahun dan berasal dariSegamat,Johor).
(5) Penembak Terbaik:
PM Ahmad Yunis Sulaiman (22 tahun dan berasal dari Tawau,Sabah).
Kesemua perajurit itu akan diserap ke dalam pelbagai Kor di dalam TD dan diberikan latihan yang sesuai dengan pengkhususan dan penugasan mengikut Kor masing-masing.
Dalam majlis sama, turut berlangsung Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) kepada 14 pegawai kanan yang diraikan.
Selain itu, turut diadakan pameran ketenteraan dengan mempamerkan peralatan khas tentera darat, peralatan komunikasi, kejuruteraan medan, Meriam 105, Persenjataan Batalion Infantri, klinik pergigian dan hospital bergerak daripada pasukan di bawah naungan TD. -UTUSAN ONLINE











