Wanita kurang siuman cuba serang anggota polis ditahan - Utusan Malaysia

Wanita kurang siuman cuba serang anggota polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita yang dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan tiga bilah pisau dalam kejadian di Taman Impian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.47 petang itu, wanita berusia 51 tahun yang juga janda anak satu itu terlebih dahulu menyimbah asid ke arah anak saudaranya yang kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan menghantar wanita tersebut ke hospital sakit jiwa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komissioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihak polis menerima laporan daripada anak saudara suspek yang memaklumkan bahawa ibu saudaranya yang mengalami masalah mental telah menyimbah asid ke arahnya serta keretanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Asid ini tidak terkena pada mangsa dan dia terus melaporkan kejadian kepada pihak polis.

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan diarahkan ke lokasi kejadian dengan segera namun ketika mahu memujuk suspek secara tiba-tiba suspek membaling tiga bilah pisau ke arah anggota polis sebelum melarikan diri menaiki dengan menaiki kereta jenis Proton Saga,”katanya di sini hari ini.

Menurut beliau semasa memandu kereta itu suspek telah melanggar motosikal anggota polis serta pintu pagar jirannya malah cuba melanggar anggota polis yang berada di hadapan rumah.

“Anggota polis kemudiannya bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta suspek.

“Namun wanita tersebut tetap memandu kenderaannya sebelum melanggar sebuah kereta di situ dan kenderaannya tersangkut di situ,” katanya.

Tambah Nik Ros Azhan, ketika anggota polis cuba membuka pintu kereta berkenaan suspek bertindak membaling asid ke arah anggota polis.

“Suspek berbuat demikian kerana mahu melarikan diri namun polis berjaya menahan suspek sebelum membawanya ke Hospital Bukit Mertajam bagi pemeriksaan lanjut.

“Polis merampas tiga bilah pisau di gunakan dalam kejadian itu daripada suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini