BARISAN Exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebulat suara meluluskan usul untuk mengadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai ini.
Ketetapan EGM tersebut akan menjadi platform buat ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baharu KAFA bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan barisan Exco.
Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira usul dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) menerusi memorandum yang diserahkan kepada badan induk itu pada Khamis lalu.
“Surat pemberitahuan akan mula diedarkan esok (hari ini) kepada seluruh ahli gabungan dan proses pencalonan boleh mula dilakukan.
“Tarikh tutup untuk pencalonan bagi semua jawatan itu akan ditutup pada 30 Jun sebelum pukul 12 tengah hari,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.
Terdahulu, Afandi telah mempengerusikan mesyuarat tergempar bersama Exco KAFA bagi membincangkan isu tersebut.
Pada 18 Jun lalu, Kosmo! melaporkan Bibi Ramjani Ilias Khan yang merupakan usahawan batik telah membuat keputusan mengejut melepaskan jawatan Presiden KAFA berkuat kuasa serta-merta menerusi satu status yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook miliknya Selasa lalu.
Affandi menambah, langkah untuk mempercepatkan EGM itu memperlihatkan komitmen barisan Exco yang meletakkan kepentingan bola sepak Kelantan diutamakan.
Katanya, beliau berterima kasih kepada barisan Exco kerana menampilkan semangat profesionalisme dengan memberikan sokongan dalam mempercepatkan proses tersebut.
“Kalau ikut kaedah dalam mengemukakan usul proses itu akan memakan masa yang agak lama untuk diluluskan.
“Jadi, hari ini (semalam) seluruh barisan Exco KAFA berlapang dada dan membuat ketetapan secara sebulat suara untuk menyokong EGM segera dilaksanakan,” ujarnya.
Afandi berkata, pihaknya juga masih belum menerima surat rasmi daripada Bibi Ramjani berhubung peletakan jawatan sebagai Presiden KAFA sehingga semalam.
Setakat ini, tiga calon sudah menyatakan minat menawarkan diri sebagai Presiden KAFA iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.











