KUALA LUMPUR – Pahang mampu menarik nafas lega menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu depan apabila meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Perak dalam aksi pertama di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Tuan rumah nyata memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila melancarkan serangan bertali arus ke gawang Perak sebaik sahaja wisel permulaan ditiup.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil, apabila pertahanan dari Perancis, Herold Goulon menanduk masuk gol pertama pasukan Pahang pada minit ke-11 selepas mendapat hantaran lintang menarik Nor Azam Azih.
Gol itu, menambahkan lagi motivasi pasukan tuan rumah untuk menggandakan jaringan sehingga memaksa bentang pertahanan Perak bekerja keras menangkis serangan pasukan Pahang.
Begitupun, beberapa serangan balas pantas pasukan pelawat sedikit sebanyak mencemaskan benteng pertahanan Pahang, malah peluang keemasan untuk Perak menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-22 namun lambungan Nor Hakim Hassan tidak menepati sasaran meskipun penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias berada di luar posisinya.
Di sebalik keghairahan pasukan tuan rumah melakukan serangan, penyerang sensasinya, Dickson Nwakaeme terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan Saddil Ramdani.
Enam minit sebelum berakhir babak pertama, Pahang berjaya menggandakan jaringan selepas hantaran lintang Norsharul Idlan Talaha daripada sebelah kiri gawang pasukan pelawat disudahkan dengan teknik yang baik daripada Mohamadou Sumareh untuk meletakkan kedudukan 2-0.
Bersambung babak kedua, Perak hanya memerlukan sembilan minit untuk merapatkan jurang jaringan menerusi penyudah cantik J.Partiban menewaskan Helmi Eliza.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kedudukan 2-1, Herold Goulon sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit akhir perlawanan menerusi percubaan bola mati di kawasan tengah tuan rumah untuk memastikan pasukan kendalian Dollah Salleh membawa bekalan dua gol ke Ipoh, minggu depan. – UTUSAN ONLINE











