KUALA LUMPUR – Sebanyak lima motosikal disita manakala 55 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan polis di Jalan FAC Matang, Kuching, Sarawak di sini semalam.
Portal berita Suara Sarawak melaporkan, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, Op Samseng Jalanan itu dijalankan bagi mengesan dan menangkap penunggang motosikal yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.
“Lima motosikal berkenaan disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut.
“Saman pula dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan tidak memakai topi keledar,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, seramai 11 anggota polis yang disertai oleh enam sukarelawan simpanan polis terlibat membantu dalam menjayakan operasi ini.
“Operasi ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ke tahap yang paling minimum.
“Dalam pada itu, sebanyak 91 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut,” ujarnya.
Tambah Aidil, operasi sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa terutama pada hujung minggu untuk memastikan aktiviti lumba haram oleh mat rempit dapat dihapuskan khususnya di daerah Padawan. – UTUSAN ONLINE











