KUALA LUMPUR – Sasaran seramai 30 juta pelancong asing bagi mengutip pendapatan sebanyak RM100 bilion mampu dicapai sekiranya seluruh rakyat Malaysia berperanan sebagai duta pelancongan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat perlu bersama kerajaan dalam mempromosikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan menonjolkan keperibadian yang mulia.
“Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat keperibadian timur yang kita miliki, dengan sendirinya mereka akan mencari pula seni dan warisan negara kita untuk dihayati dan dinikmati.
“Kita harus menjadi negara contoh kepada dunia luar dengan rakyatnya memiliki tata susila, tata laku dan tahap intelektual yang tinggi, bagi tujuan itu rakyat perlu menunjukkan keperibadian mulia yang boleh menjadi ikutan oleh pihak luar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Dalam pada itu, pihak kerajaan akan adakan perbincangan dengan semua pihak termasuk pihak majikan akan bagi mendapatkan kata sepakat, susulan cadangan memperkenalkan cuti paterniti bagi swasta.
Wan Azizah mengakui walaupun wujud bantahan daripada majikan, namun perbincangan dalam tempoh terdekat merupakan jalan terbaik sebelum membuat keputusan secara melulu.
“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan tetapi cuti bersalin ini, memang baik kalau dapat sebab negara kita akan datang sudah menjadi negara tua.
“Kita menggalakkan ramai dapatkan anak. Jadi cuti bersalin ini boleh dipertimbangkan tapi kita belum bincang terperinci dengan semua pihak berkaitan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.
Draf tersebut akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan. – K! ONLINE











