IBHY: Pelopor penentang penjajah - Utusan Malaysia

IBHY: Pelopor penentang penjajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam antologi Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957 selenggaraan Abdul Latiff Bakar (1987), terdapat sebuah sajak Seruan Kebangsaan ditulis oleh Ibrahim Haji Yaakub, (IBHY):

Seruan Kebangsaan

Wahai bangsa Melayu putera sejati
Memeliki Semenanjung wahai gusti
Ke manakah tuan buahnya hati
Marilah lekas kemajuan uliti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Usahlah tidur amboi wei! Bangsa
Bukalah mata lihatlah desa
Keluarkan gagah dengan perkasa
Supaya bangsa tinggal sentosa.

Bangunlah kaum bangunlah asmara
Bangun bekerja dengan segera
Carilah kemajuan bangsa Negara
Berpeluk kita bersatu saudara.

Kejar, kejar aduhai bangsaku
Bangun bangkit bersatu
Jangan leka duduk terpaku
Kejarlah kemajuan tinggikan mutu.

Ikut-ikut kemajuan negeri
Bangkitlah lekas segeralah cari
Kejar dan hambat dengan berlari
Kita dah tinggal amatlah ngeri

Biarlah jauh kejarlah segera
Biarlah sampai binasa jiwa
Lamun bekerja kerana Negara
Jangan sekali berhati kecewa.

(Warta Negeri, 28 Jun 1931)

Penulis sajak ini, IBHY atau nama sebenarnya Ibrahim Haji Yaakub, anak kelahiran Pahang pada 27 November 1910 di Tanjung Kertau, Temerloh. Bapanya Yaakub, guru agama yang dihormati masyarakat keturunan Bugis, ibunya wanita Kertau bernama Hawa Hussein. Ibu bapanya bercerai waktu umurnya dua tahun. Hawa yang membesarkan anaknya itu dengan kehidupan sederhana orang kampung. Ibrahim yang bersekolah di kampung, ternyata terang hatinya. Pada 1929, beliau diterima belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak.

Beliau menjadi pemuda yang cerdas dan bersemangat dan kuat membaca. Kuliah para gurunya di MPSI itu ditekuninya sungguh-sungguh teruatama sekali beliau amat terkesan dengan ajaran guru sejarahnya Cikgu Abdul Hadi Hassan yang menyentuh keadaan negeri Tanah Melayu dalam cengkaman penjajah Inggeris. Keadaan bangsanya yang mundur, akibat sistem penjajahan Inggeris yang cuma dibiarkan dibelenggu oleh kemiskinan desa yang mundur.

Peluang perniagaan di kota-kota besar diuntukkan kepada kaum Cina, orang India hidup di estet-estet. Kian mendalam perasaannya tertekan apabila merenungi syarahan gurunya itu. Semangatnya berkobar-kobar mahu membela dan melepaskan bangsa yang dicekik oleh kemiskinan dan sistem pecah dan perintah Inggeris itu. Perasaannya bergelora ingin berjuang, membela nasib bangsa dan negaranya yang terjajah itu. Tetapi bagaimana?

Guru-gurunya lain di maktab yang memupuk semangatnya adalah Za’ba, Buyong Adil, Harun Mohd. Amin, Nurdin Haji Haron dan Abdul Rahman Mahyiddin. Di perpustakaan maktab beliau membaca dengan tekun Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloeh Rakyat Indonesia, Semangat Islam, seruan Azhar, Bintang Timoer, Bintang Hindia. Intisari yang ditimbanya adalah kesedaran untuk memerdekakan bangsa dan negaranya yang dibelenggu rantai penjajahan itu. Beliau mula mengenal pejuang nasional Timur dan Barat, mengenal Soekarno, hatta, Agoes Salim, M. Natsir dan lain-lain.

Di Tanjung Malim, beliau mula mengasah bakatnya menulis rencana dan sajak. Tulisannya tersiar dalam Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu. Inggeris mula mencium gerakannya sewaktu Ibrahim mengajar di Bentong, Pahang. Di Bentong, Ishak Haji Muhammad menjadi Penolong Pegawai Daerah. Minatnya dalam siasah mula bertambah tajam. Ishak sudah bercita-cita meninggalkan jawatannya. Beliau tidak mahu lagi menjadi budak suruhan Inggeris. Ibrahim aktif dalam Kelab Melayu Bentong (1931); Persatuan Melayu Selangor (1938) .

Dalam dadanya hidup semangat perjuangan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Sagor, dan Tok Janggut. Jika beliau tidak mulakan, alamat semangat tinggal semangat sahaja. Ia harus dipraktikkan. Sebuah badan politik Melayu mesti ditubuhkan. Dia memanggil rakan dan sahabat yang dikenalnya.

Dengan berani dan nekad IBHY menubuhkan dengan rasminya Kesatuan Melayu Muda (KMM) bagi bergerak dalam politik. Beliau menjadi Presiden, Mustapha Hussein Naib Presiden, Hasan Manan (Setiausaha Agung) dan Idris Hakim (Bendahari). Ishak Haji Muhammad, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Abdullah Kamil, Abdul Samad Ahmad, Othman Mohd. Noor, Moh Sallehuddin dan Ahmad Boestamam sebagai ahli jawatankuasa. Ibrahim orang pertama yang berani meneriakkan slogan `Merdeka!’ dan perjuangkan Semenanjung Tanah Melayu merdeka dalam Indonesia Raya, sesuai dengan cita-citanya untuk mendaulatkan Melayu Raya. Inilah parti politik Melayu yang terang-terangan menyanggah persatuan kenegerian monopoli kaum bangsawan, feudal Melayu termasuk keluaran MCKK yang dilihatnya masih di bawah ketiak Inggeris.

Waktu Presiden Soekarno singgah di Singapura dalam perjalanan ke Indochina, IBHY sempat menemuinya dan memberitahu hasrat KMM agar Tanah Melayu dibawa sama merdeka dalam Indonesia Raya. Namun Soekarno tidak dapat membawa sama oleh kerana ada kesefahaman politik antara Belanda dan Inggeris. Inggeris tidak menunggu lama dengan operasi menangkap ahli KMM dan simpatisannya.

Mereka disumbatkan ke penjara di Morib, Pudu dan di Singapura, antaranya termasuklah Abdul Samad Ahmad, Ahmad Boestamam. Ibrahim berlepas ke Indonesia dan beliau turut berjuang dalam pasukan Tentera Darat TNI dikenal kini namanya sebagai Letnan Kolonel purnawirawan Iskandar Kamel Agastya (IBHY). Soekarno menghargai jasanya dan melantiknya menjadi Gabenor Bank Negara Indonesia.

Sebelum meninggal dunia Ibrahim yang menjadi pembesar di Indonesia sempat melawat Malaysia dan kampung halamannya di Kertau, Temerloh. Beliau mencatatkan sejarah yang mewangi, pada mulanya dinafikan sumbangannya sebagai nasionalis pelopor memperjuangkan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu secara tulen tidak dinaungi Inggeris. Tetapi Inggeris dengan segala helah pintarnya, mencari parti yang boleh diumpan dengan janji-janji manis tetapi penuh dengan tipu daya.

Percaturan dan diplomasi Inggeris nampaknya menjadi barah yang dihidapi negara dengan kumbahnya insiden 13 Mei dan isu perlembagaan yang diremehkan oleh rakyatnya dalam kalangan imigran. Jarak ekonomi antara bumiputera dan non bumiputera kian menajam `meninggalkan’ peribumi jauh di belakang. Apa yang dingerikan IBHY belum dapat dirawat lagi. Ibrahim yang patriotik, pelopor dan penentang penjajah Inggeris ini meninggal dunia pada 8 Mac 1979 dikebumikan di Makam Pahlawan, Kalibata, Jakarta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini