HONG KONG – Polis Hong Kong semalam berjanji akan memburu pemimpin-pemimpin bantahan yang mengepung ibu pejabat mereka selama 15 jam, satu himpunan membabitkan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan untuk mengusir keluar pemimpin bandar pro-Beijing.
Penunjuk perasaan, sebahagian besar membabitkan orang muda, berhimpun mengeliling ibu pejabat polis sejak Jumaat hingga awal pagi semalam, satu lagi tindakan menunjukkan rasa kemarahan yang semakin merebak di Hong Kong.
Hab kewangan antarabangsa itu kini berada dalam krisis politik paling buruk sejak ia diserahkan kepada China pada 1997.
Berjuta-juta penduduk berarak pada bulan ini untuk menentang rang undang-undang kurang popular untuk membenarkan rakyat diekstradisi ke tanah besar China.
Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan peserta bantahan minggu lalu dalam satu lagi kejadian tunjuk perasaan besar-besaran di luar bangunan Parlimen pada 12 Jun lalu, mengundang kemarahan terhadap polis.
Bantahan berlaku selepas ketua eksekutif, Carrie Lam cuba meluluskan rang undang-undang ekstradisi ke China yang disokong Beijing, namun ditunda susulan kecaman orang ramai.
Bagaimanapun, siri demonstrasi itu berkembang menjadi satu pergerakan lebih besar menentang pentadbiran Lam dan Beijing. Pemimpin-pemimpin bantahan merancang untuk satu lagi demonstrasi besar-besaran pada 1 Julai ini. Semasa bantahan di luar ibu pejabat polis kelmarin, satu kumpulan besar penunjuk perasaan menyekat laluan masuk, menutup kamera rakaman litar tertutup dengan pita pelekat dan menjerit ke arah polis susulan keganasan pada protes minggu lalu.
Polis dalam satu kenyataan semalam menyifatkan bantahan itu sebagai ‘haram, tidak rasional dan tidak bersebab’ dengan menyatakan pihaknya ‘melakukan susulan’ terhadap mereka di sebalik kepungan. – AFP











